Lagu Selamat Sultan

Lagu kebesaran Negeri Terengganu atau juga dikenali sebagai Lagu Selamat Sultan yang digunakan hingga hari ini telah digubah pada tahun 1972 semasa pemerintahan Al-Marhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.

Penggubah lagu ini ialah Cikgu Mohd Hashim bin Abu Bakar yang merupakan seorang guru di Sekolah Melayu Paya Bunga dan merupakan seorang Guru Pancaragam Pasukan Pengakap Sultan Sulaiman.

Lagu kebesaran negeri terengganu disusun oleh beliau bagi menjunjungi titah perintah Duli Yang Maha Mulia Al-Marhum Sultan. Baginda telah mengapuni berkenan menerima lagu itu dan dijadikan lagu “Selamat Sultan”.

Susunan senikata asal telah disusun dan digubah semula oleh Pejabat Pelajaran Negeri Terengganu selepas pemerintahan Jepun dan kekal sehingga 9 Mac 1990. Pada tahun 1989, Allahyarham Dato’ Setia Jasa ( Dato’ Hj. Mohd Salleh bin Hj. Awang ) telah mencadangkan supaya senikata lagu " Selamat Sultan " diubahsuai. Sehubungan dengan itu, Pentadbiran Negeri telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa seramai 8 orang yang diketuai oleh Y.B. Setiausaha Kerajaan Terengganu ( Y.B. Setia Wangsa ) bagi mengkaji semula senikata lagu ‘ Selamat Sultan ’. Sebahagian senikatanya didapati kurang sesuai dengan keadaan sekarang dan tidak pula mengikuti bahasa Istana. Jawatankuasa ini telah membuat beberapa pindaan ke atas senikata lama lagu tersebut.

Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah telah mengampuni berkenan dengan pindaan senikata lagu Selamat Sultan sepertimana berikut:

Allah daulatkan Tuanku Sultan
Terengganu Darul Iman
Allah peliharakan Tuanku Sultan
Sejahtera sepanjang zaman
Allah rahmatkan Tuanku Sultan
Memerintah rakyat aman

Senikata lagu "Selamat Sultan" di atas telah diguna pakai sehingga sekarang.