Baginda Sultan Omar

(1831 dan 1839 - 1876)- Sultan Terengganu yang Kelapan.

Pelantikan Kali Pertama, 1831

Selepas kemangkatan Sultan Daud timbul persengketaan antara Yam Tuan Muda Tengku Omar dengan Bendahara Paduka Raja Tengku Mansor untuk menaiki takhta. Timbulnya persengketaan tersebut kerana pada masa itu tidak wujud lagi jawatan Bendahara-setelah ditiadakan oleh Sultan Ahmad Shah I-sebagai pihak penyelesai hal ehwal pelantikan sultan. Dalam situasi tersebut, para pembesar mengadakan mesyuarat untuk menyelesaikan kedudukan takhta kerajaan. Pemuafakatan tersebut memulakan tradisi mesyuarat di kalangan pembesar sebagai sebuah institusi yang menggantikan peranan Bendahara untuk melantik sultan. Pemuafakatan itu menjadi asas penubuhan 'Jemaah Mesyuarat Kerajaan' dan 'Jumaah Pangkuan Negeri' Terengganu yang dijelmakan secara nyata pada zaman Sultan Zainal Abidin III pada awal abad ke-20.

Sebagai usaha mencari jalan tengah, para pembesar menabalkan Yam Tuan Muda Tengku Omar sebagai Yang di-Pertuan Besar dan melantik Bendahara Paduka Raja Tengku Mansor sebagai Yang di-Pertuan Tua.Peristiwa ini berlaku pada 17 Syaaban 1264 Hijrah (1 Februari 1831), iaitu sejurus selepas mangkatnya Sultan Daud.

Dengan pelantikan Yang di-Pertuan Besar itu bermakna Yam Tuan Muda Tengku Omar telah diangkat sebagai sultan kerana Yang di-Pertuan Besar itu adalah gelaran bagi seorang sultan.

Walau bagaimanapun, pelantikan kedua-dua jawatan tersebut masih belum menyelesaikan masalah takhta, kerajaan Terengganu. Malah ketegangan antara dua pihak berkenaan semakin serius. Ini kerana pemberian gelaran kepada kedua-dua pihak tersebut telah mewujudkan dua pihak yang mempunyai kuasa yang hampir sama besar. Dalam keadaan demikian, Yam Tuan Muda dan Bendahara Paduka Raja melantik pembesar masing-masing. Yang di-Pertuan Besar Tengku Omar melantik bapa mertuanya, Tengku (Wok) Ismail, sebagai Menteri.16 Sebaliknya,Yang di-Pertuan Tua Tengku Mansor melantik bapa saudara seibunya iaitu Che Ku Omar dan Che Ku Ahmad sebagai Orang Besar Utama.

Di samping itu, kedua-dua pihak mengadakan pasukan bersenjata tersendiri. Lanjutan daripada itu, berlaku 'perang saudara.' Inilah pertama kali berlakunya peristiwa seumpama itu dalam sejarah Kesultanan Terengganu.Yang di-Pertuan Tua Tengku Mansor berkubu di kawasan Balik Bukit, manakala Yang di-Pertuan Besar Tengku Omar berkubu di Kampung Dalam Bata, Tanjung.

Dalam keadaan tegang antara bapa saudara dengan anak saudara itu, Yang di-Pertuan Tua Tengku Mansor menjalankan helah iaitu menghantar utusan sulit kepada Tengku Ismail, bapa mentua Yang di-Pertuan Besar Tengku Omar. Beliau meminta Tengku Ismail memujuk Yang di-Pertuan Besar Tengku Omar supaya menarik diri daripada perebutan takhta. Tengku Ismail ditawarkan jawatan Menteri dan sejumlah wang yang besar sekiranya berjaya memujuk Yang di-Pertuan Besar Tengku Omar. Untuk mengelakkan daripada berlakunya pertumpahan darah yang sia-sia, Tengku Ismail berusaha memujuk Yang di-Pertuan Besar Tengku Omar supaya membubarkan angkatan bersenjata di kalangan para penyokongnya. Walau bagaimanapun, sejurus selepas penyokong bersenjata Yang di-Pertuan Besar Tengku Omar pulang ke rumah masing-masing, Yang di-Pertuan Tua Tengku Mansor menghantar orang-orangnya mengepung kubu Yang di-Pertuan Besar Tengku Omar. Yang di-Pertuan Besar Tengku Omar tidak dapat bertahan dan terpaksa berundur ke luar kota bersama adinda perempuan baginda, Tengku Chik. Mula-mulanya ke Setiu, kemudian ke Besut, dan akhirnya ke Kemaman.

Yang di-Pertuan Tua Tengku Mansor ditabal oleh para pembesar sebagai Sultan Mansor II pada tahun tersebut (1831). Semasa di Kemaman, Yang di-Pertuan Besar Tengku Omar mengadakan langkah-langkah untuk melemahkan kedudukan Sultan Mansor II di Terengganu. Antaranya, baginda memberi ancaman terhadap mana-mana pihak yang ingin belayar dalam jajahan takluk Terengganu. Tindakan ini menyebabkan keadaan di Terengganu menjadi kurang stabil. Kebetulan pada masa itu (pada tahun 1832), Sultan Muhammad Shah ibni Al-Marhum Sultan Abdul Rahman iaitu Sultan Johor-Riau-Lingga datang melawat Pahang.Yang di-Pertuan Besar Tengku Omar yang berada di Kemaman pergi mengadap Sultan Muhammad Shah itu dan mengadu apa yang telah berlaku di Terengganu. Yang di-Pertuan Besar Tengku Omar adalah pangkat ipar kepada Sultan Muhammad Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdul Rahman kerana isteri Sultan Muhammad Shah ibni Al-Marhum Sultan Abdul Rahman, iaitu Tengku Kalsom, adalah adik-beradik sebapa Yang di-Pertuan Besar Tengku Omar. Di samping itu, Tengku Mahmud, iaitu adinda Baginda Sultan Omar, berkahwin dengan Tengku Dalam, puteri Sultan Muhammad Johor-Riau-Lingga itu.

Sultan Muhammad Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdul Rahman Johor-Riau-Lingga menghantar dua orang wakil bersama sepucuk surat ke Kuala Terengganu untuk mengadakan rundingan dengan Sultan Mansor Shah II. Kedua-dua wakil itu adalah anak al-Kadi Engku Syed Muhammad Zin. Surat tersebut dibaca di 'balai' istana Terengganu. Dalam surat tersebut Sultan Johor-Riau-Lingga memohon Sultan Mansor II menerima balik Yang di-Pertuan Besar Tengku Omar. Walau bagaimanapun, Sultan Mansor II mengutus balik sepucuk surat yang menyatakan baginda boleh menerima balik sesiapa saja kecuali Yang di-Pertuan Besar Tengku Omar. Sultan Johor-Riau-Lingga putus ikhtiar untuk mendamaikan pergaduhan itu lalu membawa Yang di-Pertuan Besar Tengku Omar ke Lingga.

Semasa Yang di-Pertuan Besar Tengku Omar bersemayam di Lingga, takhta kesultanan Terengganu berada di tangan Sultan Mansor II (1831-1836) dan Sultan Muhammad I (1836-1839). Yang di-Pertuan Besar Tengku Omar bersemayam di Lingga selama sembilan tahun, iaitu enam tahun sepanjang tempoh pemerintahan Sultan Mansor II dan tiga tahun semasa pemerintahan Sultan Muhammad I, putera Sultan Mansor II.

Card image cap
Istana Baginda Sultan Omar

Pelantikan Kali Kedua, 1839 - 1876

Sultan Terengganu yang kesembilan ialah Baginda Sultan Omar.Baginda adalah putera Sultan Ahmad I (1808-1826) dengan Che Hajar Abdullah. Baginda menaiki takhta sebanyak dua kali, iaitu pada tahun 1831 dan 1839, dan memerintah sehingga tahun 1876. Baginda ditabal dan dinobat oleh pemuafakatan para pembesar. Sebelum ditabalkan sebagai sultan kali pertama, baginda telah dilantik sebagai Yam Tuan Muda oleh Sultan Daud. Seterusnya, selepas Sultan Daud mangkat, pemuafakatan pembesar menabalkan Yam Tuan Muda Tengku Omar sebagai Yang di-Pertuan Besar.

Gelaran Yang di-Pertuan Besar itu menunjukkan baginda sudah berkedudukan seorang sultan sejak tahun 1831. Baginda disingkir oleh Sultan Mansor II pada tahun 1832. Pada mulanya baginda, bersama adindanya Tengku Chik, berundur ke Setiu, kemudian ke Besut, dan akhirnya ke Kemaman. Dengan menjadikan Kemaman sebagai kubunya, baginda menjalankan langkah-langkah untuk melemahkan kedudukan Sultan Mansor II di Terengganu. Baginda memberi ancaman kepada mana-mana pihak yang ingin belayar ke Terengganu.

Seterusnya baginda meminta bantuan Sultan Muhammad Shah ibni Al-Marhum Sultan Abdul Rahman, iaitu Sultan Riau-Lingga, yang kebetulan datang melawat Pahang pada masa tersebut, agar berunding dengan Sultan Mansor II. Sultan Muhammad Shah menghantar utusan kepada Sultan Mansor II namun rundingan terus gagal. Setelah Sultan MansorII enggan mengembalikan takhtanya, Yang di-Pertuan Besar Tengku Omar dibawa oleh Sultan Muhammad Shah ke Riau-Lingga.Baginda berada di Riau-Lingga selama sembilan tahun dan berhubung rapat dengan golongan ulama di sana.

Baginda mendapat dorongan seorang ulama besar di Riau-Lingga bernama Sheikh Habib supaya berusaha kembali menaiki takhta. Ini dicatatkan dalam beberapa laporan British yang menyebut, “Baginda Sultan enjoyed a great reputation for sanctity in Riau and Daik.”

Dari Riau-Lingga, Baginda Omar bersama adindanya Tengku Mahmud mengatur rancangan untuk menaiki semula takhta kerajaan Terengganu. Dalam kempennya itu Yang di-Pertuan Besar Tengku Omar berjaya mengumpulkan kekuatan di Kemaman dan bergerak ke Kuala Terengganu bersama 50 orang pengikut setia. Antara mereka ialah Wan Omar, Wan Abdul Rahman dan Wan Osman yang menjadi ketua utama peperangan. Baginda Omar mendarat di Kuala Terengganu dan berjaya mengusir Sultan Muhammad I yang berkubu di atas Bukit Puteri.

Satu lagi faktor utama kejayaan Baginda Omar menaiki semula takhta ialah Sultan Muhammad I tidak begitu digemari oleh rakyat jelata. Sepupu Baginda Omar itu dianggap tidak begitu sesuai sebagai sultan kerana tutur kata baginda telor (pelat) sehingga digelar Yam Tuan Telor. Di samping itu, menurut Abdullah Munshi semasa singgah di Kuala Terengganu pada 1836, Yam Tuan Telor tidak mengambil berat terhadap rakyat jelata menyebabkan baginda tidak mendapat sokongan.

Baginda Sultan Omar menaiki semula takhta pada tahun 1839. Menurut Hugh Clifford (1961: 60), sejak itulah baginda mendapat gelaran 'Baginda' yang bermaksud “Penakluk'(Conqueror). Misbaha (1992: 167) pula menyatakan gelaran 'Baginda' itu diberikan kerana baginda menaiki takhta melalui jalan perang.

Baginda seorang pemerintah yang sangat tegas hingga disebut pemerintah 'tangan besi' tetapi menjalankan pemerintahan dengan penuh kearifan dan kebijaksanaan. Ini menjadikan baginda seorang pemerintah yang berwibawa dan disayangi rakyat jelata.

Berlaku sedikit kekacauan pada zaman pemerintahan baginda iaitu sejurus baginda menaiki takhta dan semasa baginda mengubah struktur pentadbiran wilayah jajahan takluk berasaskan dasar sentralisasi. Sejurus baginda menaiki takhta, berlaku percubaan oleh Tengku Wok Hitam, bekas orang suruhan Sultan Mansor II, untuk merampas kuasa. Percubaan tersebut tidak berjaya kerana kehandalan Baginda Sultan Omar dan kecekapan angkatan bersenjata baginda menghadapi serangan tersebut. Di samping itu, gerakan penentangan terhadap baginda itu tidak berjaya kerana gerakan tersebut tidak mendapat sokongan rakyat jelata.

Pada zaman Baginda Sultan Omar berlaku Perang Besut. Peperangan ini gara-gara Tengku Ali tidak mengendahkan kerajaan pusat di Kuala Terengganu apabila baginda Sultan Omar menjalankan dasar sentralisasi. Di samping itu, terdapat khabar Tengku Ali mengadakan pakatan dengan Sultan Kelantan untuk menjatuhkan Baginda Sultan Omar. Baginda menghantar 8,000 orang angkatan bersenjata ke Besut dan penentangan itu dihapuskan.

Walau bagaimanapun, secara keseluruhannya negeri Terengganu pada zaman baginda berada dalam keadaan aman, damai dan berkembang maju dalam bidang ekonomi dan industri. Mamanda Menteri pada zaman baginda ialah Dato'Seri Nara Wangsa Enche Muhammad.Baginda Sultan Omar sentiasa berangkat melawat ke segenap ceruk jajahan takluk negeri Terengganu.Setiap pagi Jumaat baginda keluar berjalan dengan bebas memeriksa keadaan hidup rakyat jelata sambil mengeluarkan sedekah kepada fakir miskin dan orang melarat. Kemesraan dengan rakyat jelata itu menyebabkan baginda dipanggil juga 'Tok Nyang.'

Baginda Sultan Omar mendirikan wakaf sebagai saluran mengembangkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan kebajikan kepada rakyat jelata. Wakaftersebut dikenal sebagai Wakaf Marhum Baginda.4 Menurut Hugh Clifford, dengan adanya wakaf itu maka ramai penuntut dan tukang dari negeri-negeri lain datang ke Terengganu untuk mendapat latihan dan pendidikan.

Pada zaman Baginda Sultan Omar ramai golongan berketurunan Arab datang berdagang dan bermastautin di Terengganu, malah golongan tersebut mempunyai pengaruh yang kuat di negeri ini. Dalam lawatannya ke Terengganu pada 1830-an, Earl (1837: 148) mencatatkan:

Catatan Earl

Terdapat sejumlah orang Arab dan keturunan mereka di Terengganu, dan mereka mempunyai pengaruh cukup besar ke atas negeri ini.

Antara peristiwa-peristiwa penting pada zaman pemerintahan baginda Sultan Omar adalah seperti berikut: Baginda Sultan Omar adalah sultan yang mula-mula menyusun negeri Terengganu menjadi mantap sehingga menampilkan imej kedaulatan dengan lebih berwibawa. Baginda mengukuhkan kedudukan Kesultanan Terengganu melalui tiga tindakan utama: Pertama, menjalankan dasar sentralisasi, iaitu gerakan pengukuhan kuasa kerajaan pusat/ negeri termasuk menggunakan angkatan bersenjata untuk melemahkan kedudukan pentadbiran di peringkat jajahan; kedua, mengurniakan gelaran kepada Orang-Orang Besar dan melantik para pegawai di kalangan orang kebanyakan, dan ketiga, membangunkan infrastruktur untuk melambangkan imej keutuhan institusi kesultanan sebagai institusi yang berwibawa. Ini termasuk pembinaan Istana Hijau, Rumah Api Awang Senda dan genta di atas Bukit Puteri.

Baginda Sultan Omar mengubah struktur pentadbiran wilayah jajahan berasaskan dasar sentralisasi. Tindakan baginda ini telah menjadikan kuasa di jajahan takluk lebih berpusat ke peringkat negeri. Pada zaman bagindalah diadakan pelbagai jawatan menteri, pembesar dan penasihat dalam sistem pemerintahan Terengganu. Sebahagian daripada tokoh yang memegang jawatan tersebut terdiri daripada orang kebanyakan.

Baginda Sultan Omar mengadakan Mahkamah Balai iaitu tempat menjalankan pengadilan, memutuskan guaman-hukum dan perbicaraan berasaskan hukum syarak. Mahkamah tersebut diadakan di balai dalam istana baginda sendiri. Baginda Sultan Omar memberi kebebasan kepada rakyat jelata untuk mengadap baginda.

Baginda Sultan Omar mengubah landskap bandar Kuala Terengganu dengan ciri-ciri yang ada pada hari ini. Dari segi pembangunan infrastruktur, baginda membina Istana Hijau pada 7 Zulhijah 1281 Hijrah (3 Mei 1865) untuk menggantikan istana yang dibina oleh Sultan Mansor II. Akan tetapi istana tersebut terbakar pada 1882. Bagindalah yang membina Masjid Abidin dengan menggunakan batu yang indah. Asalnya masjid tersebut dibina daripada kayu oleh Sultan Zainal Abidin Shah II. Selain itu, Baginda Sultan Omar membina beberapa batang jalan di bandar Kuala Terengganu yang sebahagian daripadanya menjadi asas jalan raya di bandar berkenaan sehingga ke hari ini.

Dari segi pembangunan ekonomi, pada zaman Baginda Sultan Omar negeri Terengganu dikenali sebagai 'Birmingham of the Peninsula' (Clifford 1961:92). Ini kerana baginda berjaya memajukan pelbagai perusahaan seperti perusahaan sutera, kapas, kain songket, alat senjata, dan pertukangan tembaga dan kayu. Baginda seorang yang berpandangan jauh. Pada zaman baginda diwujudkan satu kelas golongan pengusaha dalam bidang-bidang berkenaan. Baginda juga menggalakkan industri perlombongan bijih timah di Kemaman dan emas di Hulu Nerus.

Baginda Omar seorang tokoh penting dalam hubungan luar negeri. Baginda terlibat dalam Perang Saudara Pahang pada 1850-an, iaitu semasa berlakunya perebutan kuasa antara Tun Mutahir dengan Wan Ahmad. Baginda memberi sokongan kepada Wan Ahmad yang berkubu di Kemaman. Pada tahun 1863 Wan Ahmad berjaya menaiki takhta kerajaan Pahang dan menjadi pengasas Kesultanan Pahang pada hari ini. Selain itu, pada 1860-an Baginda Omar memain peranan untuk mencari penyelesaian bagai persengketaan antara Kesultanan Johor dengan Pahang mengenai sempadan.

Daripada segi hubungan antarabangsa, Baginda Omar adalah pengasas hubungan diplomatik antara Kerajaan Negeri Terengganu dengan Great Britain. Pada tahun 1869 baginda menghantar utusan khas bernama Tengku Muhammad Ariffin sebagai utusan ke England untuk mengadakan hubungan persahabatan dengan kerajaan, baginda Queen dan Prince of Wales. Menurut laporan SSD,22 Disember 1869, bersama perutusan tersebut dibawa beberapa hadiah untuk Ratu Britain iaitu Ratu Victoria termasuk sepasang Bunga Emas, kain songket dan ukiran kayu ciptaan baginda sendiri, di samping surat persahabatan agar British memberi perlindungan daripada ancaman Siam.

Institusi pentadbiran Terengganu yang wujud pada zaman Sultan Zainal Abidin III (1880-an) adalah diasaskanoleh Baginda Sultan Omar. Ini termasuk bibit-bibit pengasasan jawatan Setiausaha Negeri, Bendahari dan Suruhanjaya Tanah.Baginda Omarjuga mewujudkan beberapa gelaran diraja. Sebahagian daripada yang diberikan gelaran termasuk orang kebanyakan. Oleh itu, walaupun Sultan Zainal Abidin III dikenali sebagai Bapa Pemodenan Terengganu khususnya dalam penggubalan Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (1911) dan pengasasan sistem birokrasi moden yang ada pada hari ini di negeri Terengganu, namun asas pemodenan itu telah dibina oleh Baginda Sultan Omar.

Pada zaman pemerintahan bagindalah munculnya perahu besar jenis pinis di Terengganu.Baginda menghantar beberapa orang Terengganu ke Singapura untuk mempelajari teknik membuat perahu jenis ini. Perahu jenis ini yang dibuat di Terengganu ini sangat terkenal di perairan Alam Melayu sehingga ke Sulawesi kerana kelajuannya. Ada juga keterangan yang menyatakan perahu jenis ini direka oleh dua orang Perancis yang terdampar di pantai berhampiran Kuala Terengganu.Kapal mereka pecah di kawasan tersebut. Ini berlaku pada 1850-an. Penciptaan kapal jenis tersebut mendapat galakan serta sumbangan daripada Baginda Sultan Omar sendiri.

Baginda Sultan Omar adalah seorang sultan yang kuat mempertahankan maruah dengan cara mengadakan usaha-usaha pembangunan sosioekonomi dalam negeri dan mengasingkan Terengganu daripada hal ehwal luar, tanpa membabitkan dalam urusan negeri lain. Baginda mengambil iktibar daripada pergolakan dalaman di kalangan golongan pemerintah di Johor-Riau-Lingga yang telah menyebabkan Singapura menjadi milik asing iaitu British. Ekoran daripada itu, baginda lebih banyak memberi perhatian untuk memajukan sosioekonomi rakyat jelatanya.

Dasar sentralisasi yang dijalankan oleh baginda membawa implikasi cukup besar ke atas Negeri Terengganu. Tindakan yang dijalankan baginda itu menjadikan Baginda Sultan Omar Sultan Terengganu pertama yang membentuk kesultanan sebagai sebuah institusi yang lebih berperanan dalam pemerintahan. Ini kerana dasar sentralisasi itu telah mewujudkan struktur pemerintahan yang jelas antara pemerintahan pusat dengan daerah. Dasar ini juga menjadikan baginda sebagai sultan yang menghapuskan sistem pentadbiran feudal di Terengganu. Selain itu, peranan pembesar tempatan pada zaman Baginda Sultan Omar adalah hampir serupa dengan kakitangan kerajaan pada zaman moden. Oleh itu, unsur-unsur pentadbiran moden telah pun dijalankan di Terengganu oleh baginda sebelum bertapaknya kuasa penjajah di negara ini.

Seorang pelawat Eropah yang datang ke Terengganu pada tahun 1854 menggambarkan perwatakan Baginda Sultan Omar seperti berikut:

Gambaran Perwatakan Baginda Sultan Omar

Seorang yang menarik, memakai kain sarung yang begitu sederhana, berbaju putih dan dengan jaket baldu hitam berjaluran sulaman emas, begitu usang dan pudar.

Berdasarkan sebuah potret yang dilukis oleh Dato' Seri Nara Wangsa Dato'Mata-Mata Enche Muhammad Ali bin Abdul Rahim pada awal abad ke-20 - berdasarkan ingatan orang-orang tua pada masa tersebut - watak Baginda Sultan Omar adalah seperti berikut: Badannya tinggi dan gagah sasa. Biasanya baginda memakai tanjak. Baginda menggunakan meriam kecil sepanjang enam kaki sebagai tongkat semasa berjalan. Sesudah berjalan, tongkat meriam itu disandar di tangga istananya. Walaupun berwatak serius namun baginda dikenali sebagai seorang yang suka berjenaka. Baginda memulakan amalan 'mesra rakyat' iaitu mudah berjumpa bagi semua golongan untuk bertemu dengan baginda.

Baginda Sultan Omar mangkat pada 23 April 1876 (bersama 17 Rabiul Awal 1292) pada usia 70 tahun setelah memerintah selama 37 tahun. Baginda dimakamkan di dalam kubah Masjid Abidin. Jenazah baginda diusung dengan dipayungi lapan payung berwarna kuning dan lapan payung berwarna putih serta alatan lain. Istiadat pemakaman arakan Raja DiRaja untuk baginda diiringi empat kali tembakan daripada enam belas laras senapang.

Walaupun mempunyai beberapa orang isteri, namun Baginda Sultan Omar tidak mempunyai zuriat. Pada tahun 1874, kerana uzur baginda melantik anak saudara baginda iaitu Tengku Ahmad sebagai pemerintah Negeri Terengganu dengan gelaran Tengku Besar Paduka Mahkota.