Baginda adalah putera sulung Sultan Zainal Abidin Shah II dengan Che Puan Besar Wan Zainab, anak Bendahara Indera Bongsu Kerajaan Johor-Riau-Lingga. Baginda juga ditabal dan dinobatkan oleh Bendahara Tun Hussain, iaitu anak cucu Bendahara Tun Hussain yang menjadi Bendahara pada zaman SuItan Zainal Abidin Shah I. Baginda mangkat pada 13 Muharam 1246 Hijrah (4 Julai 1830) dan dimakamkan di Makam Paya Bunga (kini dikenali sebagai Makam Sheikh Ibrahim). Baginda dikenali Marhum Parit kerana membina parit di sekeliling kota istana baginda dan juga di kawasan Paya Bunga. Permaisuri baginda ialah Che Puan Besar Che Hajar yang juga dimakamkan bersebelahan makam baginda dalam lingkungan yang sama. Menteri utama pada zaman baginda ialah Dato' Seri Nara Wangsa Enche Musa.
Sumber-sumber yang adall menjelaskan pelantikan Sultan Ahmad bermula dengan peristiwa Tengku Ahmad (nama baginda sebelum menjadi sultan) melarikan diri ke Daik, ibu negeri Kerajaan Johor-Riau-Lingga dengan menaiki kapal Sultan Abdul Rahman, Sultan Johor-Riau-Lingga, kerana merajuk terhadap ayahandanya Sultan Zainal Abidin Shah II. Tengku Ahmad telah menaiki kapal Sultan Abdul Rahman semasa berada di Terengganu dan baginda bersembunyi di bawah dek tanpa diketahui oleh sesiapa. Dalam pelayaran tersebut ada seorang Jawa mengamuk dan semua anak kapal lari menyelamatkan diri. Tengku Ahmad keluar dari tempat persembunyian dan membunuh Jawa tersebut. Selepas mengetahui keadaan sebenar,Sultan Abdul Rahman menitahkan supaya menyediakan tempat peraduan yang patut bagi seorang putera raja untuk Tengku Ahmad. Maka duduklah Tengku Ahmad di Daik. Tidak berapa lama Tengku Ahmad bermohon untuk pulang ke Terengganu.Sultan Abdul Rahman mengurniakan Tengku Ahmad daerah Kemaman sebagai basuh tangan (hadiah) kerana membunuh Jawa yang mengamuk itu. Semasa di Kemaman Tengku Ahmad berkahwin dengan Tengku Bulang (dikenali juga Tengku Puteri), iaitu puteri Sultan Yahya (Raja Siak). Raja Siak itu berada di Retih sebelum ke Dungun kerana pada masa tersebut (tahun 1784) takhta kerajaannya di Siak dirampas oleh Syed Ali iaitu cucu Raja Alam Siak. Raja Siak itu mangkat di Dungun. Tengku Ahmad menghadiahkan pula pentadbiran daerah Kemaman kepada Tengku Puteri Siak sebagai mas kahwinnya. Kemudian Tengku Ahmad bersama Tengku Puteri kembali ke Kuala Terengganu.
Sultan Ahmad I mempunyai tiga orang isteri. Isteri pertama baginda, Tengku Bulang melahirkan Tengku Daud (yang kemudiannya menjadi Sultan Terengganu keenam). Isteri kedua baginda ialah puteri Sultan Mahmud Riwayat Shah ibni Sultan Abdul Jalil Shah (Sultan dan Yang di-Pertuan Besar Johor-Riau-Lingga). Isteri kedua baginda diberi gelaran Tengku Besar Perempuan dan memperoleh Tengku Kalsom yang berkahwin dengan Tengku Besar Muhammad (kemudian menjadi Sultan Muhammad Shah) putera Sultan Abdul Rahman Johor-Riau-Lingga. Isteri ketiga baginda ialah Che Hajar Abdullah, berketurunan Cina, dan dianugerahkan gelaran Che Puan Besar.Putera-puteri Sultan Ahmad Shah I dengan Che Puan Mahmud dan Tengku Chik (perempuan).