Sultan Ahmad II

(1876-1881)- Sultan Terengganu yang Kesepuluh.

Sultan Ahmad adalah putera kepada Tengku Mahmud (adinda Baginda Sultan Omar) dengan Tengku Dalam, puteri Sultan Muhammad Johor-Riau-Lingga.

Sultan Ahmad II menaiki takhta pada usia 40 tahun dan memerintah selama lima tahun tujuh bulan dua puluh enam hari. Baginda telah menjalankan pemerintahan sejak zaman Baginda Sultan Omar lagi. Baginda ditabal dan dinobat oleh pemuafakatan para pembesar. Sebelum menaiki takhta, baginda digelar Tengku Kechik Muda, kemudian digelar Tengku Besar Paduka Mahkota, dan akhirnya bergelar Yam Tuan Muda sebelum bergelar Sultan Ahmad II. Adik-beradik baginda ialah Tengku Abdul Rahim, Tengku Abas dan Tengku Chik Bukit.

Tengku Kechik Muda dilantik sebagai sultan oleh Baginda Sultan Omar kerana baginda tidak mempunyai putera. Tambahan pula Sultan Ahmad II mempunyai hubungan sangat akrab dengan Baginda Sultan Omar. Sultan Ahmad II meneruskan dasar-dasar yang diasas dan dilaksanakan oleh Baginda Sultan Omar yang agak keras termasuk dasar sentralisasi.

Pertabalan Sultan Ahmad II merupakan kali kedua dalam sejarah Terengganu, Waris Ganti Sultan turun ke tangan anak saudara al-marhum sultan sebelunnya. Baginda beristerikan Tengku Kalsom, iaitu puteri kepada Sultan Muhammad Mu'azzam Shah (Sultan Johor-Riau-Lingga), Al-Marhum Kedhaton Tengku Kalsom bergelar Tengku Puan Besar Terengganu. Antara putera-puteri baginda ialah Tengku Long@Nong, Tengku Chik@Chik Bukit, Tengku Andak, Tengku Khatijah, Tengku Maimunah, Tengku Hamidah dan Tengku Zainal Abidin.

Sultan Ahmad II mangkat pada Ahad 27 Muharam 1299 Hijrah (18 Disember 1881) dan dimakamkan di Masjid Abidin. Baginda digelar juga Marhum Baharu kerana baginda menjadi pemerintah Negeri Terengganu pada masa Baginda Sultan Omar masih hidup. Sultan Ahmad II melantik adinda baginda iaitu Tengku Abas sebagai Yang di-Pertuan Muda.