Baginda adalah putera Sultan Ahmad I dengan Tengku Bulang(Tengku Puteri),anakanda Raja Siak. Pelantikan Sultan Daud berlangsung pada 17 Rejab 1246 Hijrah (1 Januari 1831) dan merupakan sultan Terengganu yang paling singkat berada di atas takhta, iaitu hanya selama tiga puluh hari, dari 1 Januari hingga 31 Januari 1831. Sultan Daud ditabal dan dinobat oleh pemuafakatan para pembesar. Pelantikan baginda merupakan buat pertama kalinya dalam sejarah Kesultanan Terengganu takhta sultan jatuh kepada anak saudara al-marhum sultan yang memerintah sebelumnya. Ayahanda Sultan Daud iaitu Sultan Ahmad I adalah adik-beradik Al-Marhum Sultan Abdul Rahman.
Semasa pelantikan Sultan Daud berlaku perselisihan di kalangan istana kerana wujud tiga pihak di kalangan pembesar untuk menentukan siapa pengganti Al-Marhum Sultan Abdul Rahman. Satu pihak mahukan Tengku Mansor, iaitu adik-beradik al-marhum Sultan Ahmad I-bapa saudara Sultan Daud. Pihak yang lain pula mahukan Tengku Daud kerana baginda merupakan putera kepada Al-Marhum Sultan Ahmad I. Satu pihak lagi mahukan Tengku Omar kerana baginda putera Sultan Ahmad Shah I. Kekalutan ini berlaku kerana tidak ada institusi atau lembaga khusus pelantik sultan akibat daripada ketiadaan jawatan Bendahara. Dalam keadaan tersebut Tengku Puteri (Tengku Bulang, permaisuri Al-Marhum Sultan Ahmad I) dan Dato' Nara Wangsa telah melakukan campur tangan. Mereka melantik Tengku Daud sebagai sultan. Sejurus ditabalkan sebagai sultan, Sultan Daud melantik Tengku Omar sebagai Yam Tuan Muda. Pada masa yang sama, Sultan Daud melantik Tengku Mansor sebagai Bendahara Paduka Raja. Tindakan Sultan Daud melantik Tengku Mansor sebagai Bendahara Paduka Raja itu menunjukkan seolah-olah baginda ingin menghidupkan semula jawatan Bendahara.Walau bagaimanapun,pelantikan tersebut tidak menyelesaikan masalah, dan pergolakan terus berlaku selepas kemangkatan baginda.
Sultan Daud mangkat pada 31 Januari 1831 dan dikenali juga sebagai Al-Marhum Kampung Daik' kerana mangkat di Kampung Daik(sebuah kampung berhampiran Istana Maziah). Baginda dimakamkan di tanah Makam Sheikh Ibrahim.