Sultan Ismail Nasiruddin Shah

(1945 - 1979)- Sultan Terengganu yang keempat belas.

Sultan Terengganu keempat belas ialah Sultan Ismail Nasiruddin Shah (1945-1979). Baginda diputerakan pada 24 Januari 1907 di Kuala Terengganu dan adalah putera kelima Sultan Zainal Abidin III. Bonda baginda ialah Che Maimunah binti Abdullah (keturunan Siam),isteri keempat Sultan Zainal Abidin III. Baginda dilantik sebagai Sultan Terengganu pada Ahad 16 Disember 1945 di Istana Maziah, menggantikan anak saudara baginda Tengku Ali ibn Al-Marhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah-'Pemangku Sultan bagi Sementara' yang dilantik oleh pentadbiran Jepun. Baginda ditabalkan oleh Jumaah Pangkuan Negeri di Istana Maziah pada hari Ahad 6 Jun 1949 dengan gelaran Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Permaisuri baginda ialah Tengku Intan Zaharah binti Tengku Hitam Omar (Tengku Sri Setia Raja) bergelar Tengku Ampuan Besar Terengganu.

Sultan Ismail Nasiruddin Shah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu di Kuala Terengganu, kemudian melanjutkan pendidikan di Malay College Kuala Kangsar (MCKK), iaitu sekolah yang tinggi prestijnya sehingga ke hari ini. Sebelum menaiki takhta lagi baginda telah memegang jawatan-jawatan penting dan strategik dalam pemerintahan Negeri Terengganu.

Zaman Sultan Ismail berada di atas takhta selepas Perang Dunia Kedua adalah zaman cabaran baru yang menyaksikan usaha British untuk menguasai semula Tanah Melayu dan peningkatan perjuangan rakyat untk kemerdekaan. Selain bersama-sama rakyat menggagalkan Malayan Union pada 1946 (lihat halaman 312), Sultan Ismail sebelum itu telah mengemukakan beberapa tuntutan terhadap British demi memelihara kedaulatan tanah air dan kepentingan rakyat. Dalam warkah baginda kepada Sir Harold MacMichael bertarikh 21 Disember 1945 (lihat CO 537/1552), baginda antara lain menuntut: (1) Negeri [Terengganu] diberi masa agar rakyatnya memperoleh peluang sepenuhnya untuk menikmati pendidikan dan kemudahan-kemudahan lain; (2) Undang-undang khusus bagi Negeri Terengganu dikekalkan tanpa sebarang pertikaian; (3) Undang-undang Terengganu mengenai raja-raja diteruskan; (4) Semua permintaan untuk tanah dan perkara-perkara lain oleh rakyat Malaya mesti diurus dengan mengutamakan permintaan orang Melayu terlebih dahulu; dan (5) Bahasa Melayu bertulis diberikan peranan utama dalam Perkhidmatan Kerajaan manakala bahasa Inggeris bertulis sebagai bahasa kedua. Tindakan Sultan Ismail ini jelas menunjukkan yang baginda seorang Raja dan pemerintah yang berdaulat dan bertanggungjawab selaras dengan semangat Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu.

Sultan Ismail Nasiruddin Shah adalah antara sembilan orang Raja Melayu yang menurunkan tandatangan pada dokumen Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 21 Januari 1948 itu. Baginda juga Sultan pertama yang mengumumkan pengisytiharan pilihan raya umum seluruh Negeri Terengganu pada 7 September 1954. Pilihan raya tersebut diadakan pada 20 Oktober tahun itu melibatkan lima belas kawasan iaitu Bandar Kuala Terengganu,Kuala Terengganu Tengah, Kuala Terengganu Barat, Kuala Terengganu Utara,Kuala Terengganu Selatan, Marang, Hulu Terengganu, Kuala Besut,Hulu Besut,Setiu,Ladang, Bukit Besar, Dungun, Paka-Kemaman Utara dan Kemaman Selatan.

Baginda terus memberi sumbangan di peringkat nasional selepas Merdeka. Baginda menjadi Pengasas Penaung Persatuan Fotografi Malaysia pada tahun 1958, sebuah persatuan di bawah naungan Royal Photographic Society,London.

Pada 21 September 1960, baginda dipilih oleh Mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Semasa memegang jawatan tersebut baginda pernah menjalankan tugas Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali. Pertama,semasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong melawat India dan Pakistan pada 3 Disember 1961 hingga 20 Januari 1962. Kedua, semasa Seri Paduka Baginda melawat Saudi Arabia serentak dengan menunaikan fardhu haji di Mekah pada 3 April 1965 hingga 6 Mei 1965.

Pada masa tersebut baginda dilantik sebagai Colonel-in-ChiefPasukan Peninjau Malaysia. Baginda juga menjadi Penaung dan Ahli Kehormat beberapa pertubuhan di dalam dan di luar negara.

Baginda dilantik oleh Mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong IV dari 21 September 1965 hingga 20 September 1970. Seiringan dengan itu, permaisuri baginda Tengku Ampuan Besar Terengganu Tengku Ampuan Intan Zaharah dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.Dalam tempoh tersebut, putera baginda Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahmud dilantik sebagai Pemangku Raja Terengganu.

Selepas habis tempoh memegang jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, baginda kembali semula memegang takhta Sultan Terengganu dan juga meneruskan tugas sebagai Colonel-in-Chief Pasukan Peninjau Malaysia sehingga tahun 1979.

Semasa menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong,baginda membuat beberapa lawatan ke luar negara termasuk ke India, Iran, Switzerland, Jerman Barat,Korea Selatan dan Hong Kong.

Sultan Ismail Nasiruddin Shah terkenal sebagai seorang penggemar seni fotografi sejak tahun 1930-an. Baginda mengambil gambar foto pada zaman yang sangat penting dalam sejarah Malaysia iaitu dari tahun 1948 hingga 1958. Kemuncak zaman tersebut ialah kemerdekaan Malaysia (ketika itu Malaya) pada tahun 1957. Baginda seorang ahli fotografi yang sangat mahir dengan kebolehan melakukan percetakan filem sendiri.Baginda menggunakan pelbagai jenama kamera termasuk Linhof, Rolleiflex dan Leica. Baginda memasuki pelbagai pertandingan fotografi anjuran Malayan International Photography Salons sejak 1950-an dengan berdaftar atas nama 'Sir Ismail Nasiruddin Shah,Kuala Trengganu.' Salah satu kejayaan baginda ialah memenangi Hadiah Utama dalam Malayan International Photography Salons di Singapura pada 1950-an dengan koleksi foto yang dipertandingkan berjudul Mariam (lihat halaman 360). Dedikasi baginda dalam bidang ini tidak dapat diragui. Contohnya baginda pernah menghabiskan begitu banyak masa untuk menterjemahkan teks berbahasa Inggeris pada foto kepada tulisan Jawi. Menulis dalam tulisan Jawi adalah salah satu kegemaran baginda.

Baginda Sultan Ismail Nasiruddin Shah menyambut Jubli Perak pemerintahan baginda pada 16 Disember 1970. Baginda mangkat di Istana Badariah pada hari Khamis, 28 Syawal 1339 (bersamaan 20 September 1979) pada pukul 12.40 tengah hari. Jenazah baginda dibawa ke Istana Maziah dan dimakamkan di Makam DiRaja Masjid Abidin pada hari Jumaat 29 Syawal 1399 (bersamaan 21 September 1979) pukul 3.00 petang. Putera baginda iaitu Yang Teramat Mulia Yang DiPertuan Muda Tengku Mahmud dilantik sebagai Sultan Terengganu pada 21 September 1979 dengan gelaran Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Sultan Ismail Nasiruddin Shah mempunyai empat orang isteri.Isteri pertama Sultan Ismail Nasiruddin Shah ialah Che' Wan Aminah binti Wan Cik dan memperoleh dua orang puteri, Y.A.M.Tengku Wok Fatimah@Tengku Wook Sabariah dan Y.A.M.Tengku Zaharah Putri.

Isteri kedua Sultan Ismail Nasiruddin Shah ialah Y.M.Tengku Tengah Zaharah binti Tengku Omar yang diijabkabulkan dengan baginda pada tahun 1929. Tengku Tengah Zaharah yang diputerikan pada tahun 1911,adalah puteri sulung Y.A.M. Tengku Omar ibni al-Marhum Sultan Ahmad al-Mu'azzam Shah (Tengku Setia di-Raja) Pahang dengan Che Ku Yah binti Che Ku Mansor. Tengku Tengah Zaharah mangkat di Istana Badariah pada 19 April 1979 dan dimakamkan di Makam DiRaja Terengganu. Perkahwinan Sultan Ismail Nasiruddin Shah dengan Tengku Tengah Zaharah binti Tengku Omar dikurniakan empat orang putera dan tiga orang puteri iaitu:

1. D.Y.T.M.Tengku Mahmud
2. Y.A.M.Tengku Abdul Malik,semasa remaja bergelar Tengku Kecil Muda kemudiannya bergelar Tengku Sri Raja
3. Y.A.M. Tengku Ibrahim bergelar Tengku Sri Paduka Raja
4. Y.A.M.Tengku Abdullah Sulaiman bergelar Tengku Sri Laksamana Raja

Puteri-puteri baginda dengan Y.M. Tengku Tengah Zaharah binti Tengku Omar ialah:

1. Y.A.M.Tengku Zaleha
2. Y.A.M.Tengku Zainah
3. Y.A.M.Tengku Mariah Noorsiah

Isteri ketiga Sultan Ismail Nasiruddin Shah ialah Tengku Intan Zaharah binti Tengku Hitam Omar (bin Tengku Muda Usman). Baginda berdua diijabkabulkan pada 3 April 1944.Tengku Intan Zaharah dikurniakan gelaran Tengku Ampuan Besar Terengganu pada 6 Jun 1949.Tengku Ampuan Besar Terengganu diputerakan di Singapura pada 13 April 1928. Baginda adalah puteri kepada Tengku Hitam Omar bin Tengku Muda Usman, Tengku Seri Setia Raja (pernah menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu) dengan Raja Zainab binti Raja Alang Muhammad Nur,puteri Raja Muhammad Nur bin Raja Ngah 'Ali (Raja Alang) Asahan. Tengku Ampuan Besar mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Telok Kurau dan Convent School, Katong, Singapura. Baginda menjadi Penaung Persatuan Pandu Puteri Terengganu dan dianugerahkan DK Terengganu, DMN Malaysia (4 April 1966), SSMT, SPMT,GC of the Order of the Precious Crown of Japan,the Queen of Sheba of Ethiopia (21 Mei 1968), dan the Pleiades 1st Class of Iran(Februari 1968). Perkahwinan Sultan Ismail Nasiruddin Shah dengan baginda tidak dikurniakan zuriat.

Isteri keempat Sultan Ismail Nasiruddin Shah ialah Che' Jarah binti Abdullah, seorang berbangsa Cina dikurniakan seorang puteri iaitu Y.A.M. Tengku Ramlah Azizah.