Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah

(1979-1998)- Sultan Terengganu yang Kelima belas.

Sultan Terengganu yang kelima belas ialah Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah (1979-1998).Baginda adalah putera sulung Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Bonda baginda ialah Tengku Tengah Zaharah binti Tengku Omar. Sultan Mahmud diputerakan di Kuala Terengganu pada hari Selasa, 30 Zulkaedah 1348 bersamaan 29 April 1930.

Sebelum ditabalkan sebagai sultan, baginda dilantik sebagai Yang DiPertuan Muda pada 18 Disember 1950. Dengan kemangkatan ayahanda baginda, Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 20 September 1979, baginda dilantik sebagai Sultan dan Yang DiPertuan bagi Negeri Terengganu serta segala jajahan takluknya pada 21 September 1979. Seterusnya baginda ditabalkan pada 21 Mac 1981 dengan gelaran Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Card image cap

Sebelum menjadi sultan, baginda dilantik Pemangku Raja Terengganu sebanyak tiga kali. Pertama, pada 2 April 1965.Kedua,dalam tempoh ayahanda baginda Sultan Ismail Nasiruddin Shah dilantik menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong iaitu dari 21 September 1965 hingga 20 September 1970. Ketiga, pada 21 Mac 1979 semasa ayahanda Baginda Sultan Ismail Nasiruddin Shah berangkat ke luar negara. Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah menunaikan fardhu haji pada tahun 1984 bersama Sultan Salahuddin Selangor. Baginda mempunyai azam yang kuat untuk menjadikan Terengganu sebuah negeri maju di bahagian timur Semenanjung. Baginda mewarisi hobi mengambil foto daripada ayahanda baginda. Baginda telah merakam foto pelbagai tempat di Terengganu termasuk Hotel Primula Beach Resorts,Wisma Darul Iman, Istana Maziah,Masjid Tengku Tengah Zaharah, Masjid Abidin dan Rantau Abang.

Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah mangkat pada hari Khamis pukul 10.15 pagi 17 Muharam 1419 (bersamaan 14 Mei 1998) di Mount Elizabeth Hospital, Singapura. Jenazah baginda dibawa balik ke Kuala Terengganu pada hari yang sama dan dimakamkan di Makam Diraja di Masjid Al-Muktafi Billah Shah pada hari Jumaat 18 Muharam 1419 bersamaan 15 Mei 1998.

Card image cap
Card image cap

Pada 15 Mei 1998 putera baginda iaitu Yang Teramat Mulia Tuanku Mizan Zainal Abidin dimasyhurkan sebagai Sultan Terengganu yang keenam belas bagi Negeri Terengganu dan segala jajahan takluknya.

Pendidikan awal baginda di Sekolah Melayu tempatan dan Sekolah Inggeris Crown Grammar School,Kuala Terengganu. Seterusnya baginda melanjutkan pelajaran di England dari bulan Mei 1949 hingga Disember 1950. Baginda melanjutkan pelajaran di England buat kali kedua dari 11 Ogos 1951 hingga Februari 1954 dalam bidang perikanan.

Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah banyak terlibat dalam aktiviti ketenteraan. Pada 3 Januari 1955 baginda mengikuti latihan tentera di Kem Latihan Askar Melayu di Port Dickson. Pada 20 Ogos 1956 baginda dikurniakan pangkat Kapten Yang Kehormat. Pada 1 Ogos 1958 baginda dinaikkan pangkat Mejar Yang Kehormat dalam Pasukan Askar Melayu Diraja. Pada 1 Ogos 1965 baginda dianugerahkan Tauliah Diraja bagi Pasukan Askar Wataniah Malaysia sebagai Pegawai Sukarela dengan menyandang pangkat Mejar iaitu menggantikan Tauliah Diraja Kehormat dalam Pasukan Askar Melayu Diraja.Pada 1 Disember 1968 baginda dinaikkan pangkat Leftenan Kolonel dalam Pasukan Pertahanan Tempatan (Askar Wataniah Malaysia) dan dilantik sebagai Pegawai Pemerintah Pasukan Pertahanan Tempatan Negeri Terengganu. Sejak tahun 1979 sehingga mangkat,baginda menyandang pangkat Kolonel Kor Armor Diraja

Card image cap

Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah mempunyai tiga orang isteri. Isteri pertama baginda ialah Tengku Bariah binti al-Marhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Selangor. Tengku Ampuan Bariah adalah puteri kedua Sultan Hisamuddin Alam Shah ibni al-Marhum Sultan Alauddin Sulaiman Shah Selangor (K.C.M.G.). Tengku Ampuan Bariah dan Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah diijabkabulkan pada 22 Mac 1951 dan dianugerahkan gelaran Tengku Puan Muda pada tarikh yang sama. Pada 21 Mac 1980,baginda dianugerahkan gelaran Tengku Ampuan Besar yang membawa gelaran Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Besar Terengganu. Perkahwinan Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dengan Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Bariah tidak dikurniakan zuriat.

Isteri kedua baginda ialah Yang Teramat Mulia Tengku Besar Terengganu Sharifah Nong Asegaff. Yang Teramat Mulia Tengku Besar Sharifah Nong Asegaff diputerakan di Singapura pada 7 Oktober 1939 dan melangsungkan perkahwinan dengan Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah pada 15 April 1959. Baginda berdua dikurniakan tiga orang putera dan tiga orang puteri.

Putera-putera D.Y.M.M. Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dengan Yang Teramat Mulia Tengku Besar Terengganu Sharifah Nong Asegaff terdiri daripada:
1. K.D.Y.M.M.Tuanku Mizan Zainal Abidin, diputerakan pada 22 Januari 1962 di Istana Al-Muktafi,Kuala Terengganu.
2. Y.T.M.Tengku Mustaffa Kamel Tengku Sri Bendahara Raja, diputerakan pada 1 April 1968.
3. Y.A.M. Tengku Baderul Zaman Tengku Sri Panglima Raja, diputerakan pada 10 November 1974.

Puteri-puteri D.Y.M.M. Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dengan Yang Teramat Mulia Tengku Besar Terengganu Sharifah Nong Asegaff seperti berikut:
1. Y.A.M. Dato'Hajah Tengku Farah Quraishiyah Puteri bergelar Tengku Kemala Puteri, diputerakan pada 1 Jun 1961.
2. Y.A.M. Tengku Norhana Fathiah Puteri, diputerakan pada 12 Ogos 1964.
3. Y.A.M.Tengku Rahimah Puteri, diputerakan pada 8 Februari 1966.

Isteri ketiga D.Y.M.M. Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah ialah Cik Khadijah binti Muhammad. Daripada perkahwinan ini dikurniakan seorang putera iaitu Y.A.M. Tengku Baharuddin bergelar Tengku Sri Temenggong Raja, diputerakan pada 10 Disember 1976.