Sultan Mansor I

Sultan Mansur Riayat Syah I Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin Shah I

(1733-1794)- Sultan Terengganu yang Kedua.

Keputraan Sultan Mansor I

Sultan Terengganu yang kedua ialah Sultan Mansor I (Ku Tana Mansor). Menurut Peringatan Raja-raja, Sultan Mansor I adalah putera Sultan Zainal Abidin Shah I dengan anak Sheikh abdul Malik bin Syed Abdullah (Tok Pulau Manis). Sultan Mansor I diputerakan pada tahun 1725. Pada hayat Sultan Zainal Abidin Shah I lagi Tok Pulau Manis bertegas agar baginda harus diberi nama 'Mansor' yang bermaksud besar dan perkasa.Tok Pulau Manis mendapat firasat bahawa putera sultan yang masih kecil itu akan menjadi seorang sultan yang besar dan dapat menghapuskan lanun di laut.

Pertabalan Sultan Mansor I

Sultan Mansor I dilantik menjadi sultan pada tahun 1733. Menurut Tuhfat al-Nafis, baginda ditabal dan dinobat pada waktu Asar hari Ahad 10 Zulhijjah 1153 (26 Februari 1741) oleh Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah Johor. Kakanda-kakanda Sultan Mansor yang seibu dan sebapa ialah Ku Tana Wangsa, Ku Tana Ali dan Ku Tana Ismail. Walaupun putera keempat namun pelantikan baginda sebagai sultan tidak dibantah oleh kakanda-kakanda baginda, malah diterima penuh kerelaan. Ini kerana baginda telahmemperlihatkan kewibawaan dan keistimewaan luar biasa seperti tabah dan cekal hati mengahadapi cabaran sejak zaman kanak-kanak lagi.

Kemangkatan & Pemakaman Sultan Mansor I

Baginda mangkat pada malam Jumaat, 4 Jamadilakhir 1208 Hijrah (bersamaan 14 Julai 1794). Baginda dimakamkan di Masjid Abidin. Makam baginda dibina oleh putera baginda iaitu Sultan Zainal Abidin Shah II yang menggantikan baginda. Nesannya siperbuat daripada kacapuri yang telah dipesan dari Negeri China semasa hayat baginda lagi.

Bendahara di zaman Sultan Mansor I

Bendahara pada zaman pemerintahan baginda ialah Tunn Hussain dan Mamanda Menteri ialah Dato' Panglima Seri Nara Wangsa Enche Ali. Sebelum ditabalkan sebagai sultan, baginda memegang gelaran Yang Di-Pertuan Muda (dari 1733-1741). Selama lapan tahun sebelum menjadi sultan, hal-ehwal pemerintahan dipangku oleh Bendahara Tun Hussain. Sultan Mansor I disebut juga Tun Dalam, Tun Kechik dan Yang di-Pertuan Kechik kerana baginda dimasyhurkan sebagai sultan pada usia sangat muda.

Perkahwinan Sultan Mansor I

Sultan Mansor I dikahwinkan dengan Raja Bakul, iaitu puteri Daeng Chelak (Yam Tan Muda Bugis) pada tahun 1739. Pada tahun yang sama baginda dijemput sekali lagi ke Riau dan dikahwinkan pula dengan Raja Bulang, puteri Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah, Johor. Raja Bulang dikurniakan gelaran Che Puan Besar Terengganu. Gelaran ini dapat dilihat pada kedudukan makam Raja Bulang (di Masjid Abidin) yang berada di sebelah makam Sultan Mansor I.

Putera-Puteri Sultan Mansor I

Tengku Sulung, Tengku Zainal Abidin, Tengku Embong, Tengku Abdullah, Tengku Sulaiman, Tengku Sa'adiah Tengku Muhammad, Tengku Ibrahim, Tengku Ahmad, Tengku Mahmud, Tengku Ishak, Tengku Abdul Kadir, Tengku Puteh, Tengku Salmah, Tengku Abdul Rahman, Tengku Lebar, Tengku Othman, Tengku Abas, Tengku Bungsu, dan Tengku Tipah.

Penentangan Terhadap Bugis

Sultan Mansor I dikatakan seorang sultan yang menggangap zuriat Sultan Terengganu adalah dari keturunan Kesultanan Melayu Melaka dan beriltizam mempertahankan ketuanan Melayu dari kuasa asing. Baginda menentang kedudukan orang Bugis yang memegang jawatan strategik dalam pemerintahan Johor-Riau-Lingga. Baginda berpendirian kedudukan dalam Bugis dalam Kesultanan Johor-Riau itu menghakis ketuanan Melayu. Sikap baginda yang anti-Bugis dapat dilihat pada tindakan baginda berkahwin dengan Raja Bulang (puteri Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah,Johor) walaupun baginda telah dikahwinkan dengan Raja Bakul, puteri Daeng Chelaj (Yam Tuan Muda Bugis). Sikap baginda yang terlibat secara langsung, bersama para pembesar dan hulubalang Terengganu, Pahang, dan Johor dalam gerakan mengusir pengaruh Bugis dari dalam kerajaan Johor. Selama baginda berada di Riau itu hal ehwal kerajaan Terengganu dijalankan oleh para menteri baginda. Dalam kempen menentang Bugis itu baginda mendapat sokongan daripada Bendahara Pahang (anak Bendahara Tun Hussain) dan Temenggung Johor. Usaha untuk menyikngkirkan pengaruh Bugis itu agak sukar kerana orang Bugis telah mengisi jawatan-jawatan utama dalam Kesultanan Johor-Riau. Lebih menyukarkan lagi kerana kedudukan Bugis itu mendapat restu daripada Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah sendiri.