Sultan Mansor II

(1831 - 1836)- Sultan Terengganu yang Ketujuh.

Dengan pengunduran Yang di-Pertuan Besar Tengku Omar ke Kemaman maka Sultan Terengganu yang ketujuh ialah Sultan Mansor II. Baginda ditabal pada bulan Februari 1831 (Syaaban 1246) dan dinobat oleh pemuafakatan para pembesar. Sebelum menaiki takhta, Sultan Mansor II pernah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Tua oleh para pembesar selepas mangkatnya Sultan Daud. Sultan Mansor II adalah adik-beradik Sultan Ahmad I dan Sultan Abdul Rahman. Mereka adalah putera Sultan Zainal Abidin Shah II dengan Che Puan Muda (anak perempuan Bendahara Tun Hussain). Oleh itu,Sultan Mansor II adalah bapa saudara sultan sebelum itu, iaitu Al-Marhum Sultan Daud.

Sultan Mansor II memerintah selama lebih kurang 6 tahun. Baginda mangkat pada tahun 1253 Hijrah (1836 Masihi) dan dimakamkan di tanah perkuburan Sheikh Ibrahim. Putera-puteri baginda ialah Tengku Muhammad, Tengku Ngah,Tengku Musa,Tengku Maimunah dan Tengku Mariam. Sultan Mansor II melantik Tengku Muhammad sebagai pengganti baginda sebagai Sultan Terengganu kelapan.