Baginda menaiki takhta pada tahun 1836. Baginda ditabal dan dinobat oleh pemuafakatan para pembesar pada usia yang agak muda, iaitu pada ketika berumur lima belas tahun-merupakan Sultan Terengganu yang kedua termuda selepas Sultan Mansor I. Baginda berada di atas takhta semasa Yang di-Pertuan Besar Tengku Omar bersemayam di Lingga yang masih meneruskan perjuangan untuk mendapatkan semula takhta kerajaan Terengganu.
Pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad I itulah tibanya Abdullah Munshi di Terengganu. Abdullah Munshi membuat catatan tentang Terengganu pada masa tersebut dalam bukunya Pelayaran Abdullah Munshi ke Kelantan. Sebahagian besar para pembesar Terengganu menganggap Sultan Muhammad I tidak begitu memenuhi syarat kemuliaan seorang raja kerana tutur kata baginda telor (pelat). Justeru baginda digelar 'Yam Tuan Telor.' Baginda sempat memerintah selama lebih kurang tiga tahun setelah takhta baginda dirampas oleh Tengku Omar yang mendapat sokongan sebahagian para pembesar Terengganu. Sultan Muhammad berangkat ke hulu Pahang, kemudian ke Kelantan dan mangkat di sana pada tahun 1255 Hijrah (1839 Masihi).