Sultan Terengganu yang kedua belas ialah Sultan Muhammad II. Baginda adalah putera sulung Sultan Zainal Abidin III dengan Che Istana Hajjah Kelsom binti Daud. Baginda diputerakan pada pukul 7 malam Khamis 1 Ramadhan 1306 (1 Mei 1889) dan dikurniakan gelaran Tengku Kecik Muda pada usia kanak-kanak. Baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Muda pada usia enam tahun.
Baginda adalah putera kesayangan Sultan Zainal Abidin III. Ayahanda baginda sentiasa memanggil baginda dengan nama 'Awang,' satu panggilan manja dalam masyarakat tradisional Melayu di pantai timur. Sejak bergelar Yang di-Pertuan Muda lagi baginda diberi tugas menjalankan pemerintahan dan keadilan negeri dengan dikurniakan 'Kuasa Negeri.'
Upacara istiadat pengisytiharan Sultan Muhammad II sebagai sultan dilangsungkan di hadapan jenazah Al-Marhum Sultan Zainal Abidin III. Istiadat tersebut berlangsung pada pukul 5.30 petang hari pemakaman jenazah Al-Marhum Sultan Zainal AbidinIII (hari Isnin 21 Safar 1337 bersamaan 25 November 1918) di Istana Maziah. Baginda ditabal dan dinobat oleh Jumaah Pangkuan Negeri. Watikah pelantikan baginda dibaca oleh Naib Menteri Besar. Sultan Muhammad II telah beberapa kali menolak untuk dilantik sebagai sultan. Tengku Dalam Kalthum, seorang Kerabat Raja Terengganu, mencatatkan dalam bentuk syair dinamakan Syair Tawarikh Sultan Zainal Abidin III:
Hingga petang sudahlah hari
Hendak dimakam sultan bestari
Datang susah segala wazari
Putera tak mahu memerintah negeri
Walau bagaimanapun, baginda tetap dilantik atas keputusan yang dibuat oleh Jumaah Pangkuan Negeri berasaskan Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu, Fasal Pertama Perkara 8. dengan menggunakan kuasa undang-undang tersebutlah ahli-ahli Jumaah Pangkuan Negeri melantik baginda. Baginda memerintah hanya selama satu tahun, lima bulan dan tujuh hari. Ini kerana baginda sendiri dengan rela hati turun takhta pada 21 Mei 1920. Baginda membuat keputusan tersebut kerana tidak dapat menerima pentadbiran British, walaupun baginda sendiri yang menandatangani Perjanjian 24 Mei 1919 yang membawa Terengganu berada di bawah naungan British.
Dengan Perjanjian 24 Mei 1919 itu bermulalah campur tangan British di Terengganu. Ia memberi ruang kepada Penasihat British untuk terlibat dalam pentadbiran, kecuali dalam hal ehwal istiadat Melayu dan agama Islam. Tengku Dalam Kalthum, seorang Kerabat Raja Terengganu, mencatatkan dalam syairnya berjudul Syair Tawarikh Sultan Zainal Abidin III bahawa sebab utama baginda menandatangani perjanjian tersebut adalah sebagai langkah untuk 'mengurangkan kemusnahan yang lebih besar' setelah British mengenakan tekanan begitu kuat untuk menguasai Terengganu. Sekiranya baginda tidak menandatangani perjanjian tersebut amat besar kemungkinannya kemusnahan lebih buruk akan berlaku di Terengganu. Ini kerana British sudah tidak sabar membiarkan Terengganu begitu lama tidak dinaungi sedangkan negeri-negeri lain sudah dinaunginya sejak Perjanjian Bangkok 1909 lagi.
Menurut Tengku Dalam lagi, sebab utama Sultan Muhammad II membuat keputusan turun takhta adalah kerana baginda berasa bersalah menandatangani perjanjian tersebut. Sebab-sebab lain ialah kerana baginda tidak berpuas hati di atas tindakan British menolak pelantikan orang Melayu memegang jawatan dalam kerajaan. Di samping itu,baginda membuat keputusan tersebut kerana penghinaan yang dilakukan oleh Penasihat British mengurangkan elaun sara hidup (musyarah) baginda dari $10,000 kepada $4,000 sebulan. Penurunan gaji ini menyebabkan baginda tidak dapat membantu fakir miskin.
Pada prinsipnya baginda enggan menandatangani perjanjian penerimaan Penasihat British pada 24 Mei 1919 itu tetapi telah dipaksa oleh British untuk berbuat demikian. Perletakan jawatan baginda itu berlaku dalam keadaan aman. Ini dilakukan melalui 'Watikah Meletakkan Jawatan Sultan'yang ditandatangani oleh baginda sendiri dan empat orang ahli Jumaah Pangkuan Negeri bertarikh 2 Ramadhan 1338 (20 Mei 1920). Isteri-isteri Sultan Muhammad II ialah 1.Tengku Embong Zahab binti Tengku Chik Besar@Ali bin Tengku Besar Paduka Indera Raja Tengku Muhammad Yusuf ibni
Sultan Mahmud Muazzam Shah, Marhum Mangkat di Pahang; 2. Tengku Bilik binti Tengku Ali;3. Tengku Hajjah Aishah (Sultanah Terengganu), puteri Sultan Abdul Rahman Johor-Riau-Lingga; 4. Tengku Ruqiya binti Tengku Umar, puteri Tengku Umar Johor-Riau-Lingga; dan 5. Hajah Che Kalsum binti Muhammad Amin. Usia baginda begitu panjang. Baginda hidup lebih daripada 30 tahun,kebanyakan masa di Singapura, selepas membuat keputusan turun takhta. Baginda mangkat pada 1 Ramadhan 1375 (11 April 1956) di Istana Gong Kapas dan dimakamkan di bawah kubah Masjid Abidin. Sultan Muhammad II yang juga digelar Raja Darat diganti oleh adinda sebapa baginda iaitu Tengku Sulaiman.