Sultan Terengganu yang ke-XIII ialah Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Baginda adalah juga putera Sultan Zainal Abidin III dan adik-beradik sebapa dengan Sultan Muhammad II. Bonda baginda ialah Chik Asiah binti Ismail. Baginda menaiki takhta pada 21 Mei 1920iaitu pada tarikh kakanda baginda Sultan Muhammad II turun takhta secara sukarela. Baginda ditabal dan dinobat oleh Jumaah Pangkuan Negeri.
Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah diputerakan pada malam Isnin, 14 Jamadilakhir 1313 (1 Disember 1895). Semasa Sultan Zainal Abidin III mangkat, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah berusia 22 tahun 11 bulan 24 hari. Semasa kecil baginda digelar Tengku Muda Sulaiman. Baginda adalah salah seorang yang menandatangani penggubalan Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu pada tahun 1911. Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah berkahwin dengan puteri Sultan Pahang bernama Tengku Mariam pada 17 Syaaban 1331 (21 Julai 1913). Pertabalan baginda dilangsungkan pada 14 Jamadilakhir 1339 (22 Februari 1921). Upacara pertabalan baginda itu dilangsungkan oleh Tengku Sri Utama Raja Tengku Ngah Omar bin Abdul Rahim, iaitu ayahanda sepupu kepada baginda dan merupakan kerabat akrab diraja serta wazir dan Menteri Besar Terengganu. Dalam upacara tersebut juga isteri baginda, iaitu Tengku Mariam, dikurniakan gelaran Tengku Ampuan.Baginda memerintah selama 22 tahun 4 bulan dan 4 hari.
Pada zaman pemerintahan bagindalah berlakunya pendudukan Jepun di Terengganu. Jepun telah mendarat di pantai Kelantan pada 8 Disember 1941. Pemerintahan tentera Jepun menguasai Terengganu sepenuhnya pada 18 Disember 1941.Pada 29 April 1942, melalui satu 'Pemasyhuran Am,' Negeri Terengganu dan seluruh jajahan takluknya dijadikan jajahan takluk kerajaan 'Dai Nippon Tei Keku.' Di samping itu, pentadbiran tentera Jepun menyerahkan hal ehwal pentadbiran Terengganu kepada Siam.
Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah mangkat pada 24 September 1942, iaitu pada zaman pendudukan Jepun dan dimakamkan di bawah kubah Masjid Abidin. Kemangkatan baginda pada zaman pendudukan tentera Jepun itu menimbulkan beberapa implikasi dalam institusi Kesultanan Terengganu. Pentadbiran Jepun dan Siam melantik Tengku Ali, iaitu putera Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah,sebagai pengganti baginda.