Sultan Zainal Abidin Shah I

Sultan Zainal Abidin Shah I Ibni Almarhum Dato' Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid Al-Aydrus

(1708-1733)- Pengasas

Keputraan Sultan Zainal Abidin Shah I

Sultan Zainal Abidin Shah I diputerakan pada tahun 1089 Hijrah (1677/78 Masihi) di Johor. Baginda diambil sebagai putera angkat oleh Paduka Raja Laksamana Tun Abdul Jamil atau disebut Wan Deraman dalam sumber tempatan Terengganu dan Pahang.

Fig.1: Kupang Emas Terengganu

Pertabalan Sultan Zainal Abidin Shah I

Baginda dianugerahkan Terengganu oleh Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV. Sebagaimana dicatatkan pada duit kupang emas Terengganu, Tun Zainal Abidin ditabalkan dengan gelaran 'Sultan Zainal Abidin Shah' pada tahun 1708. Pertabalan baginda disempurnakan oleh Qadi Wan Imam Mahmud. Pertabalan baginda itu menandakan tertubuhnya institusi Kesultanan Terengganu yang berdiri tegak sehingga ke hari ini sekali gus mengasaskan sumber kekuasaan politik yang sah dan menyatukan segala unsur pembinaan kerajaan sehingga terbinanya sebuah negeri yang dinamakan 'negeri Terengganu'. Dari keturunan bagindalah munculnya sultan-sultan yang memerintah negeri Terengganu dan jajahan takluknya hingga ke hari ini.

Putera angkat Paduka Raja Laksamana Tun Abdul Jamil

Sultan Zainal Abidin Shah I diambil sebagai putera angkat oleh Paduka Raja Laksamana Tun Abdul Jamil. Pada tahun 1688, semasa berusia lebih kurang sepuluh tahun, baginda berangkat ke Patani bersama keluarga Paduka Raja Laksamana yang diusir oleh para pembesar Johor. Pengusiran itu berlaku kerana Paduka Raja Laksamana dianggap cuba menderhaka , iaitu merampas takhta kerajaan daripada Sultan Mahmud yang masih kecil. Paduka Raja Laksamana terbunuh di Teluk Datuk berhampiran Kuala Terengganu tetapi Tun Zainal Abidin berjaya tiba di Patani.

Fig.2: Makam Sultan Zainal Abidin Shah I di Bukit Keledang.

Kemangkatan & Pemakaman Sultan Zainal Abidin Shah I

Baginda mangkat pada tahun 1733 Masihi dan dimakamkan dengan adat istiadat diraja di atas Bukit Keledang, Kuala Terengganu. Baginda dikenali juga sebagai Marhum Bukit Nangka.

Putera Angkat Raja Kuning (Nang Chayam)

Baginda dijadikan putera angkat oleh Raja Kuning, iaitu Raja Patani yang disebut juga Nang Chayam atau Raja Mas Jayam. Apabila baginda dianugerahkan negeri Terengganu, baginda pulang ke Patani. Nang Chayam (Raja Mas Jayam) menghantar Tun Zainal Abidin ke Terengganu dengan diiringi 80 orang Patani bersama kelengkapan pertabalan diraja dan beberapa orang ulama.

Bendahara di zaman Sultan Zainal Abidin Shah I

Bendahara pada zaman pemerintahan baginda ialah Tun Hussain dan Mamanda Menteri baginda ialah Che Buang, anak Orang Kaya Seri Wangsa. Mereka adalah para pembesar tempatan pada zaman sebelum pertabalan Sultan Zainal Abidin Shah I.

Isteri-Isteri Sultan Zainal Abidin Shah I

Baginda mempunyai beberapa orang isteri. Ketika berada di Johor, semasa pulang dari Patani, baginda berkahwin dengan anak orang Muar dan mempunyai dua orang anak, seorang perempuan dan seorang lelaki. Semasa berada di Patani baginda berkahwin dengan Nang Rogayah, sepupu Nang Chayam (Raja Mas Jayam). Nang Rogayah dijadikan Che Puan Besar Negeri Terengganu yang pertama.