Sultan Terengganu yang kesebelas ialah Sultan Zainal Abidin III (1881-1918). Baginda adalah putera Sultan Ahmad II dengan Tengku Kalsom, puteri Al-Marhum Sultan Muhammad Mu'azzam Shah Daik (Johor-Riau-Lingga) bergelar Tengku Puan Besar Terengganu.Baginda adalah cucu saudara kepada Baginda Sultan Omar. Baginda diputerakan pada 27 Zulkaedah 1281 (23 April 1864) dan menaiki takhta pada 27 Muharam 1299 (19 Disember 1881).Oleh itu, baginda dilantik sebagai Sultan Terengganu pada usia remaja, iaitu semasa berumur 16 tahun 7 bulan 27 hari.Baginda ditabal dan dinobat oleh pemuafakatan para pembesar dengan sokongan tokoh ulama pada bulan Jamadil Awal 1299 (April 1882) dalam upacara penuh adat istiadat yang turut dihadiri wakil Raja Chulalongkorn, Raja Siam(1868-1910) yang dikenali Rama V.Saudara baginda bernama Tengku Long yang bersemayam di Riau turut berangkat hadir.
Timbul sedikit kekecohan semasa pelantikan baginda sebagai sultan kerana Tengku Abas berhasrat menaiki takhta. Tengku Abas adalah adinda Sultan Ahmad II yang telah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Muda sejak zaman pemerintahan Sultan Ahmad II lagi. Walau bagaimanapun, kekecohan tersebut dapat diselesaikan dengan penglibatan Syed Abdullah bin Syed Muhammad (Engku Besar Paduka Raja,bergelar Sheikhul Ulama),7iaitu Menteri Besar ketika itu yang telah dilantik sejak zaman Sultan Ahmad II. Di samping itu, para pembesar umumnya memberi sokongan terhadap Sultan Zainal Abidin III.
Tengku Abas (disebut juga Tengku Muda) terus dilantik sebagai Yang di-Pertuan Muda dengan gelaran Paduka Sri Tengku Abas ibni Al-Marhum Yam Tuan Muda Tuanku Mahmud. Tengku Abas dianugerahkan daerah pentadbiran di Kemaman dan Kijal bersama 'Chap Zuriat.'
Penglibatan Menteri Syed Abdullah yang disokong oleh pembesar lain dalam pertabalan Sultan Zainal Abidin III itu menunjukkan sudah terdapat majlis mesyuarat kerajaan yang mempunyai kedudukan dan berperanan cukup besar dalam Kesultanan Terengganu pada zaman pemerintahan baginda. Faktor Tengku Zainal Abidin dipilih sebagai sultan diasaskan kepada ciri-ciri kelebihan baginda iaitu memiliki ilmu pengetahuan yang luas serta mendalam, mempunyai keperibadian yang sesuai dan berkebolehan dalam pemerintahan.
Pada peringkat awal pemerintahannya, baginda sangat dipengaruhi oleh para pembesar terutamanya kerabat raja kerana baginda menaiki takhta pada usia begitu muda. Di atas pengaruh pembesar, baginda menjalankan dasar desentralisasi iaitu memberi kuasa cukup besar kepada para pembesar daerah - yakni mengubah dasar sentralisasi yang dijalankan oleh Baginda Sultan Omar dan Sultan Ahmad II. Dasar tersebut dijalankan dengan cara menganugerahkan kuasa kepada kerabat raja dan juga pembesar untuk mentadbir dan memungut cukai dari daerah-daerah jajahan takluk. Walau bagaimanapun, pada pertengahan zaman pemerintahannya, Sultan Zainal Abidin III mengubah semula dasar pemerintahan baginda kepada dasar sentralisasi. Kuasa pentadbir daerah dipusatkan semula kepada kerajaan negeri.
Sultan Zainal Abidin III merupakan Sultan Terengganu terunggul dalam pemerintahan Terengganu selepas Baginda Sultan Omar. Antara sifat-sifat unggul baginda adalah seperti berikut: 1. Sangat serius dalam keagamaan termasuk melaksanakan hukum syarak hinggakan baginda disebutkan 'Sultan yang Warak'; 2. Amat mementingkan keadilan dan kesejahteraan rakyat jelata; 3. Menyintai ilmu pengetahuan dan berkaliber dalam pelbagai bidang keilmuan; 4. Menerima sistem pentadbiran moden; 5. Amat memberi perhatian terhadap kemajuan ekonomi; 6. Begitu prihatin terhadap kemajuan intelektual dan pendidikan; dan 7. Mempunyai kearifan dan kemahiran yang cukup tinggi dalam menjalankan dasar luar dan hubungan antarabangsa.
Sultan Zainal Abidin III sangat memuliakan agama Islam. Baginda sendiri tekun mendalami ilmu dan menghayati ajaran Islam serta melaksanakan hukum syarak tanpa mengira golongan. Zaman pemerintahan baginda merupakan era kemaraan kuasa penjajah yang begitu agresif di rantau ini. Walau bagaimanapun, baginda masih berjaya mempertahankan maruah Negeri Terengganu daripada dijajah oleh British dan Siam. Baginda tidak menerima syarat-syarat Perjanjian Bangkok 1909 dan juga tidak menerima Penasihat British.
Salah satu sumbangan terbesar baginda ialah menggubal Undang-Undang Tubuh bertulis pertama di negeri Terengganu iaitu, Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Itqan Al-Muluk Bi Ta'dil Al-Suluk) pada 11 Zulkaedah 1329 (2 November 1911). Dokumen perundangan ini adalah diilhamkan dari Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor (1895). Penggubalan Undang-Undang Tubuh itu menjadikan baginda bapa pemodenan Terengganu khususnya dalam pemerintahan. Penggubalan Undang-Undang Tubuh itulah membawa tertubuhnya jabatan-jabatan kerajaan yang ada pada hari ini.
Sultan Zainal Abidin III berada di atas takhta selama 36 tahun 11 bulan dan enam hari. Baginda mangkat pada pukul 2.24 pagi hari Isnin 21 Safar 1337 (25 November 1918) dan dimakamkan di bawah kubah Masjid Abidin pada pukul 5.30 petang hari Selasa keesokannya. Baginda adalah salah seorang Sultan Terengganu yang paling lama berada di atas takhta. Menurut Frank Swettenham,Gabenor Negeri-negeri Selat,walaupun baginda sangat tersohor, namun Sultan Zainal Abidin III bukanlah seorang yang kaya raya dari segi kewangan.
Sultan Zainal Abidin III mempunyai ramai isteri (bukan dalam satu masa). Antara mereka adalah seperti berikut: Che Istana Hajjah Kelsom binti Haji Daud (orang Pulau Duyong) dikurniakan Tengku Ngah Aisah,Tengku Nik Maimunah dan Sultan Muhammad; Che Ashiah binti Salleh, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah; Che Ashiah binti Abdullah, berbangsa Siam, dikurniakan Tengku Nila Puri Tengku Dalam Halimah; dan Che Maimunah binti Abdullah, berbangsa Siam, dikurniakan Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Sultan Zainal Abidin III mempunyai tiga orang putera yang menjadi sultan pada masa kemudiannya iaitu Tengku Muhammad, Tengku Sulaiman dan Tengku Ismail. Menurut sumber lisan dalam istana, Sultan Zainal Abidin III pernah bertitah supaya setiap putera baginda itu diberi peluang menaiki takhta.
Sultan Zainal Abidin III begitu prihatin terhadap keadaan hidup rakyat jelata. Baginda sentiasa melawat daerah-daerah jajahan takluk Terengganu termasuk Kemaman, Dungun, Paka, Kemasik dan Kerteh.Lawatan baginda itu direkod dalam laporan pegawai British, antaranya, Surat W.G.Scott kepada H.C.O.5 Julai 1912, dalam H.C.O. 923/1912;Surat Young kepada Colonial Office, 25 Jun 1913, dalam C.O. 273/399:317,470.