Salasilah Kesultanan Terengganu

Era kesultanan Terengganu hari ini diasaskan oleh Sultan Zainal Abidin 1, Iaitu putera Tun Habib Abdul Majid atau dikenali juga dengan gelaran Bendahara Padang Saujana. Mengikut buku Tuhfat al-Nafis karangan Raja Ali Haji, Tun Zainal Abidin ditabalkan sebagai Sultan Terengganu oleh Daeng Menampuk atau Raja Tua diatas perintah Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.

Salasilah Kesultanan Terengganu

Manakala sumber lain mengatakan Tun Zainal Abidin ditabalkan diatas takhta kerajaan Terengganu oleh Phra Nang Chau Yang, Raja Patani.Tun Zainal Abidin menjadi Sultan Terengganu pada tahun 1708, berdasarkan duit kupang emas Terengganu yang mencatatkan nama Sultan Zainal Abidin dan tahun 1120 Hijrah (bersamaan tahun 1708).

Salasilah Kesultanan Terengganu

Penempatan pertama bagi pemerintahan Terengganu ialah di Tanjung Baru, Kuala Berang, Kemudian baginda berpindah ke Kota Batang Mahang, seterusnya ke Langgar dan ke Pulau Manis, Kemudian baginda berpindah lagi ke Chabang Tiga, Kuala Terengganu dan akhirnya dikawasan berhampiran Bukit Keledang (kini dipanggil Kota Lama).Sultan Zainal Abidin I digantikan oleh putera baginda, Ku Tana Mansur dengan gelaran Sultan Mansur I pada tahun 1733 ketika berusia 7 tahun.

Salasilah Kesultanan Terengganu

Baginda memerintah Terengganu sehingga tahun 1794. Sultan Mansur digantikan pula oleh putera baginda Sultan Zainal Abidin II (1794 – 1808). Seterusnya takhta Kerajaan Terengganu diduduki oleh Sultan Ahmad (1808-1830), Sultan Abdul Rahman (1830), Sultan Daud (1830-1831), Sultan Mansur II (1831-1837), Sultan Muhammad (1837-1839) dan Baginda Omar (1839-1876).

Salasilah Kesultanan Terengganu

Baginda Omar pernah menduduki takhta kerajaan negeri Terengganu pada tahun 1831 menggantikan Sultan Daud. Tetapi baginda diturunkan dari takhta oleh Tengku Mansur yang digelar Sultan Mansur II. Sultan Mansur II digantikan oleh putera baginda, Sultan Muhammad. Pada tahun 1839, Baginda Omar berjaya mengalahkan Sultan Muhammad dan seterusnya menduduki takhta kerajaan Terengganu.

Salasilah Kesultanan Terengganu

Ketika pemerintahan baginda, Terengganu berkembang maju.Apabila Baginda Omar mangkat, takhta kerajaan negeri Terengganu diduduki oleh Sultan Ahmad Shah II (1876-1881). Sultan Ahmad Shah II pula digantikan oleh putera baginda, Sultan Zainal Abidin III (1881-1918). Ketika pemerintahan baginda, British beberapa kali cuba campur tangan dalam pemerintahan negeri. Pada tahun 1911, Sultan Zainal Abidin III meluluskan Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu yang diantara lain menyatakan Sultan Yang DiPertuan Besar Terengganu memiliki kuasa kerajaan dan jajahan serta adalah ketua tertinggi kerajaan Terengganu.

Salasilah Kesultanan Terengganu

Seterusnya takhta Terengganu digantikan oleh Sultan Muhammad Shah II (1918-1920) da Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1920-1942).Tengku Sri Paduka Raja, Tengku Ismail kemudiannya diisytiharkan sebagai Sultan Terengganu pada Ahad, 16 Disember 1945. Baginda seterusnya ditabalkan pada tahun 1949 dengan gelaran Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Kemudian baginda dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong ke-6 dari 21 September 1965 hingga 20 September 1970.

Salasilah Kesultanan Terengganu

Dalam tempoh itu, Duli Yang Maha Mulia Tengku Mahmud dilantik sebagai Pemangku Raja Terengganu. Apabila Sultan Ismail Nasiruddin Shah mangkat, baginda digantikan pula oleh putera baginda, Duli Yang Teramat Mulia Yang DiPertuan Muda Tengku Mahmud. Baginda menduduki takhta kerajaan negeri Terengganu dengan gelaran Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah. Sultan Mahmud mangkat pada 15 Mei 1998 di Singapura. Dengan itu, takhta kerajaan Terengganu digantikan oleh putera baginda, Yang Dipertuan Muda Tengku Mizan. Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin telah dimasyhurkan sebagai Sultan Terengganu pada 15 Mei 1998 dan terus memerintah negeri Terengganu Darul Iman sehingga sekarang.

Video Dokumentari
Kesultanan Terengganu

Video dokumentari ini boleh disertakan dengan maklumat-maklumat tentang 16 Sultan Terengganu serta visual-visual indah dari negeri Terengganu untuk memberikan gambaran yang lebih mendalam dan menarik. Sila klik butang main di bawah untuk melihat video tersebut.